Sunday, April 12, 2009

Akhlak Dalam Pembentukan Jati Diri Muslim

Oleh : Nooraini Binti Ishak

Kehidupan yang indah adalah kehidupan yang dihiasi oleh nilai-nilai akhlak, moral dan etika yang menjadi asa kepada apa jua aktiviti kehidupan dan pergaulan. Pengajaran dan penghayatan nilai-nilai yang mulia ini dalam kehidupan, sebenarnya menjamin wujudnya keamanan dan kestabilan masyarakat. Semua ajaran keagamaan menekankan peri pentingnya nilai-nilai keutuhan, akhlak dan moral. Dalam Islam nilai akhlak adalah nilai samawi yang suci dating daripada Allah s.w.t. dan sebarang pencabulan merupakan penganiayaan terhadap hak-hak Allah oleh hambaNya.
Penghayatan nilai-nilai akhlak yang mutlak dan tinggi akan menjamin kesejahteraan, keharmonian dan keamanan dalam masyarakat majmuk. Ia juga akan menjadikan bangsa itu terhormat dan disegani. Ini bertepatan dengan firman Allah s.w.t. iaitu dari surah al- mukminin ayat 1 hinnga 2 yang bermaksud “Sesunnguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyu’ dalam sembahyangnya”. Dengan demikian kemajuan ekonomi dan teknologi Malaysia akan berjalan selari dengan keluhuran budaya dan ketinggian akhlak masyarakat berbilang kaum. Namun, gejala keruntuhan akhlak, kelemahan budaya integriti dan budaya ilmu dalam masyarakat Malaysia semasa, merupakan suatu cabaran besar kepada pelaksanaan pendekatan Islam Hadari.
Akhlak, moral dan ektika berperanan penting dalam menentukan keutuhan sesebuah masyarakat, bangsa atau juga negara. Dengan kata lain, utuh atau runtuhnya sesebuah bangsa bergangtung kepada akhlak, moral serta etika yang menjadi amalan bangsa itu sendiri. Islam sebagai agama dan cara hidup yang syumul menekankan agar umatnya menjalani kehidupan berasakan adab atau etika, akhlak dan perilaku yang mulia. Inilah misi yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. iaitu untuk memperbaiki akhlak moral manusia. Seperti di dalam Al- Quran ada menjelaskan melalui surah al-Qalam 68 ayat 4 yang bermaksud “Bahawa sesungguhnya kamu mmpunyai akhlak yang sangat mulia”. Misi yang penting ini menjadikan akhlak sebagai salah satu ciri terpenting dalam ajaran Islam. Dalam hubungan ini, Ibn Abbas pernah mengatakan bahawa setiap bangunan ada asanya dan asa bagi Islam ialah akhlak yang mulia. Malah Ibn al-Qayyim juga pernah menegaskan, seluruh aspek agama (Islam) ialah (akhlak yang mulia); oleh itu sesipa yang bertambah nilai akhlaknya maka bertambahlah nilai agamanya.
Akhlak dari segi bahasa ialah tabiat, perangai, tingkahlaku, sifat semulajadi, adapt kebiasan dan lain-lain. Manusia dicipta oleh Allah dengan sebaik-baik ciptaan dan terdiri daripada dua unsur, iaitu jasmani dan rohani. Menurut firman Allah s.w.t iaitu surah al-Tin ayat 4 yang bermaksud “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalm bentuk yang sebaik-baiknya ( dan berkelengkapansesuai dengan keadaannya)”. Unsur jasmani disebut dalam bahasa Arab “al-khaluq” dengan bacaan huruf kha berbaris di atas (keindahan bentuk luaran ). Unsur rohani pula disebut “al-khuluq” degaan bacaan huruf kha berbaris di depan (keindahan bentuk dalaman). Keindahan batin seseorang dapat dilihat melalui tingkahlaku, budiperketi, tutur kata ataupun tindakan zahir seseorang. Justeru itu akhlak adalah berkaitan dengan sifat-sifat batin dan dijelmakan melalui tingkahlaku. Aspek batiniah juga adalah keimanan yang ada dalam diri seseorang sehingga mereka melakukan sesuatu perkara berdasarkan suruhan iman tersebut. Ini bertepatn dengan definisi akhlak oleh Imam al-Ghazali; “sifat-sifat batin yang tertanam dalm jiwa seseorang dan ia akan lahir dengan mudah tanpa memerlukan pertimbangan akal yang mendalam. Sekiranya keadan jiw tu baik maka akan terbit perbuatan yang baik dan terpuji mengikut akal dan syariah, ia dinamakan akhlah yang baik. Sebaliknya jika keluar perbuatan buruk, ia dinamakan akhlak yang buruk”. Menurut Ibn Maskawayh pula akhlak bermaksud “keadaan jiwa seseorang, ia terbahagi kepada dua bahagian iaitu natural (tabie), jiwa yang tabie ini berpusat kepad sifat semula terhadap pejadi seperti perasaan cepat marah terhadap perkara yang kecil, panas baran, cepat terkejut dan lain-lain dan yang kedua pula ialah keadaan jiwa yang dibentuk malalui latihan dan kebiasaan. Ia terbahagi kepada dua peringkat iaitu yang pertama peringkat pertimbangan dan pemikiran yang telitidan peringkat kedua ialah peringkat mempraktiskan sesuatu kebaikan sehingga menjadi kebiasaan dalam amalan hidup seseorang.
Etika berasal dari perkataan Yunani, iaitu ‘ethos’ yang bermaksud hukum, adapt resam, kebiasaan dan budi pekerti yang dimiliki oleh kumpulan tertentu. Menurut Socrates, Etika ialah hasil dari pengalaman-pengalaman yang dilalui oleh manusia. Jelasnya etika adalah sesuatu yang bersumber daripada akal manusia serta nilai-nilai yang mampu difikirkan oleh akal manusia.
Moral pula adalah berasal dari perkataan ‘mores’ yang bererti kesusilaan, adab, sopan santun, tradisi dan sebagainya yang menentukan piawaian atau norma. Sebagai masyarakat mengaitkan etika dan moral dengan peraturan masyarakat yang terdiri daripada tatahukum, tatasusila atau tetid masyarakat. Peraturan masyarakat biasa juga dimaksudkan sebagai tradisi, norma, kebiasaan atau adat, nilai dan pantang larang masyarakat. Walau apapun peraturan masyarakat wujud di luar diri individu. Peraturan juga bersifat wujud atau konkrit serta ditetapkan oleh autoriti dalam masyarakat tersebut. Moral juga bermaksud tingkahlaku dan tindakan manusia samada baik atua buruk yang dinilai oleh masyarakat bergangtung kepada tempat, masa dan keadaan. Oleh itu moral dalam pengertian ini adalah bersifat relatif. Ianya berbeza antara satu masyarakat dengan masyarakat yang lain dan boleh berubah mengikut masa dan keadaan.
Akhlak Islam terdiri daripada akhlak mahmudah dan akhlak mazmumah. Akhlak mahmumah ialah akhlak yang dituntut dalam Islam. Ia merupakan segala bentuk kebaikan yang dilakukan oleh manusia dari sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besar perkara, seperti keimanan yang mutlak kepada Allah s.w.t. , takwa, ihsan, benar, jujur, amnah, menyampaikan, bijaksana, pemurah, menundukkan pandangan dari perkara-perkara keji, memelihara lidah, lemah lembut, sabar dan tabah serta lain-lain sifat yang menggambarkan kebaikan. Sifat mahmudah adalah semua perbuatan yang mengambarkan perlaksanaan tanggungjawad kepada perintah Allah s.w.t. dan akur kepada laranganNya dengan cara tidak melanggar larangan tersebut. Dengan kata lain ia melaksanakan suruhan dan meninggalkan larangan walau di mana ia berada; di khalayak ramai atau keseorangan, bukan sahaja dari sudut perbuatan zahir tapi juga hatinya (batin) akur dengan tuntutan tersebut. Akhlak mazmudah pula ialah lawan kepada akhlak mahmudah iaitu akhlak yang keji dan cela. Ia merupakan segala bentuk perlakuan, sifat, tabiat dan perangai buruk dan cela. Ia merupakan segal bentuk perlakuan, sifat, tabiat dan perangai buruk yang dicela oleh syarak. Diantaranya ialah syirik, derhaka kepada ibu bapa, khianat, sombong, benci, fitnah dan lain-lain. Sifat mazmudah juga di katakan perbuatan melakukan larangan Allah dan meninggalkan suruhanNya.
Ilmu, iman dan amal merupakan faktor penting dalam pembinaan dan pembentukan akhlak. Pembinaan dan pembentukan ini perlulah melalui beberapa peringkat seperti peringkat pertama iaitu sebelum berumahtangga. Generasi cemerlang adalah hasil daripada pembentukan keluarga yang baik, lantaran itu Rasulullah s.a.w. menasihatkan supaya mengutamakan orang yang beragama dan berakhlak mulia dalam pemilihan jodoh,supaya dia dapat menjalankan tugas yang sepenuhnya terhadap pemeliharaan keluarga, memikul semua hak suami-isteri, memelihara dan mendidik anak-anak dan rumahtangga yang dibina sentiasa berada dalam keharmonian. Ini dapat dilihat melalui hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud “Seseorang wanita yang dinikahi kerana empat sebab kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka hendaklah engkau memilih yang beragama, itulah pilihan yang terbaik.” Peringkat kedua ialah semasa perkahwinan. Suami isteri harus melaksanakan tanggungjawab masing-masingdengan sebaik-baiknya sebagaiman yang dianjurkan di dalam Islam. Rumahtangga hendaklah sentiasa dipupuk dengan perasaan kasih sayang, belas kasihan, tolak ansur dan ras kemesraan. Dengan adanya sifat-sifat tersebut kehidupan berumahtangga akan tenang dan tenteram dan seterusnya akan meninggalkan kesan yang baik dan natijah yang menggalakkan dalam pemeliharaan anak-anak. Allah s.w.t. menggambarkan keadaanin dalam firmanNya melalui surah al-Rum ayat 21 yang bermaksud “Dan di antara tanda-tanda yang membiktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. Islam juga mengalakkan ibu-ibu yang hamil dan juga bapa memperbanyakkan amalan-amalan kebaikan, seperti membaca al-Quran, berzikir, berdoa dan lain-lain. Amalan-amalan ini akan memberi kesan dalam perkembangan jiwa anak-anak. Begitu juga syariat Islamiah telah menerangkan segala sesuatu yang berhubung dengan hukum hakam terhadap anak yang baru lahir, seperti di azan atau di qamatkan, tahnik, mencukur rambut,menamakan dengan nama-nama yang baik, aqiqah dan berkhatan. Peringkat ketiga ialah kanak-kanak. Kank-kank juga perlu di beri pendidikan yang seimbang di antaranay pendidikan yang seimbang, di antaranya pendidikan keimanan yang merupakan asas utama. Selain daripada itu kanak-kanak juga perlu diberi pendidikan akhlak seperti batas-batas aurat, adab-adab dengan rakan, kedua ibu bapa, guru dan orang-orang yang lebih tua. Seterusnya pendidikan jasmani, mental dan lain-lain. Oleh itu kedu ibu bapa murupekan orang yang bertanggungjawab untuk memberi pendidikan keimanan serta budi pekerti yang mulia. Mereka juga wajid membentuk mentak kanak-kanak supaya matang dan mendidik jiwanya supaya tahu bertimbangrasa serta memimpin mereka supaya menambah ilmu pengetahuan yang berguna. Sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh al-Bukhari yang bermaksud “Seorang lelaki adalah bertanggungjawad di rumah isterinya, dan dia akan ditanya tentang tanggungjawab dan wanita juga bertanggungjawab di rumah suaminya serta dia akan ditanya tentang tanggungjawabnya.” Peringkat yang seterusnya ialah peringkat remaja. Menurut Kamus Dewan remaja bererti “Dewasa, sudah akil baligh”. Remaja merupakan golongan yang terbesar di Malaysia dan mereka adalah asset penting serta bernilai kepada bangsa dan Negara. Oleh itu mereka perlulah dibentuk dan didik denganiman, ilmu dan akhlak. Ini kerana zaman remaja merupakan mas yang paling mencabardalam kehidupan seseorang dan mereka mudah terpengaruh dengan perskitarannya. Oleh itu menjadi kewajipan ke atas ibu bapa untuk memastikan pendidikan yang sempurna yang terbais terhadap anak-anak. Kesibukan ibu bapa menyebabkan anak-anak kehilangan kasih sayang dan tempat bermanja. Keadaan ini menyebabkan golongan remaja tidak ada kekuatan untuk melawan godaan nafsu dan persekitaraannya. Golongan remaja merupakan pemimpin pada masa akan datang dan jatuh bangunnya sesebuah Negara terletak di bahu mereka. Tindak tanduk mereka sentiasa mendapat perhatian daripada masyarakat. Sesebuah Negara akan berbanga jika para remajanya berakhlak mulia. Justeru itu golongan remaja tidak harus dibiarkan terumbang ambing dalam menjalani kehidupan mereka. Tanpa tunjuk ajar dan bimbingan yang baik daripada golongan tua mereka tidak dapat menjalani kehidupan yang sempurna.
Kepentingan ibadah dalam Islam bukan sahaja membuktikan kepatuhan kepada Allah s.w.t., tetapi ia juga mempunyai kesan secara langsung dalam pembentukan peribadi seseorang Muslim, apabila ibadah itu dilaksanakan sebagaimana disyariatkan oleh Allah s.w.t. solat mempunyai kesan yang mendalam terhadap pembentukan akhlak. Kesannya bukan sahaja ketika mendirikan solat tetapi ianya bermula dari sebelum mendirikan solat iaitu dari azan dan wudu’. Seterusnya kesan solat boleh diperolehi setelah selesai solat, iaitu zikir-zikir dan wirid-wirid. Selain solat, zakat juga memainkan peranan dalam membentuk akhlak seseorang. Ia bertujuan untuk membersihkan diri daripada sifat-sifat mazmudah dan menyuburkan jiwa manusia dengan sifat-sifat mahmudah. Ibadah puasa pula bukanlah sekadar mencegah atau menahan diri dari makan dan minum semata-mata tetapi bertujuan melatih diri mengawal nafsu dan syahwat supaya tidak melepasi batas-batas hukum yang ditetapkan. Ibadah haji difardhukan oleh Allah s.w.t. terhadap umat Islam bertujuan untuk mendidik jiwa mreka supaya sentiasa sedia berkorban, berjimat cermat dan memupuk kasih sayang semata-mata kerana Allah s.w.t. Konsep pengorbanan di dalam Islam meliputi pengorbanan harta, jiwa, masa dan tenaga. Kehidupan para sahabat Rasulullah s.a.w. telah memaparkan kepada kita tentang pengorbanan mereka yang begitu hebat demi menyebarkan agama Allah. Amalan-amalan sunat juga dapat mengawal iman dan menyuburkan jiwa untuk sentiasa gemar kepada kebaikan. Diantara fungsi amalan sunat ialah dapat menyempurnakan amalan wajib, meninggikan pangkat dan darjat seseorang di syurga. Oleh itu untuk menyempurnakan amalan wajib eloklah ditambah dengan amalan-amalan sunat. Jika amalan wajib sempurna, iman menjadi tetap dan boleh meningkatkan akhlak mulia. Dalam memperbanyakkan amalan sunat, seseorang perlulah menjaga diri daripada sebarang maksiat. Ini kerana ibadah adalah perkara kebaikan sedangkan maksiat adalah perkara buruk. Sekiranya perkara baik bercampur dangan perkara buruk maka yang baik akan menjadi rosa.
Akhlak seseorang boleh dibentuk melalui didikan dan latihan oleh para pendidik yang berkualiti. Pendidikan yang diberikan itu hendaklah bermula dari rumah yang dilaksanakan oleh ibu bapa. Selepas itu barulah berpindah ke peringkat sekolah hingga ke pusat pengajian tinggi bagi pendidikan yang berbentuk formal. Akhlak yang mulia tidak mungkin akan dapat meresap ke dalam jiwa seseorang, selagi ia tidak membiasakan jiwanya berakhlak dengan akhlak yang mulia dan meninggalkan kelakuan dan perangai yang jahat dan keji secara istiqamah sehingga benar-benar menjadi kebiasaan dan merasa suatu kenikmatan ketika melakukannya. Seseorang yang melakukan ibadah atau meninggalkan larangan agama secara terpaksa atau dalam keadaan perasaan yang amat berat dan belum terasa nikmat, maka itu sebagai petanda seseorang itu belum mencapai kesempurnaan (bahagia) dengan apa-apa yang dilakukan.
Kesimpulannya, akhlak dalam Islam bertujuan untuk membentuk tingkahlaku individu yang baik dan bagi individu Muslim hendaklah sentiasa berusaha dalam kearah pembentukan akhlak mulia. Begitu juga kerjasama dari semua pihak amat diperlukan demi melahirkan sesebuah masyarakat yang sejahtera dan harmoni serta menghayati nilai-nilai akhlak yang luhur dalam semua aspek kehidupan. Dari perspektif tamadun agama Islam, kemajuan ekonomi dan ilmu sesuatu bangsa harus dijiwai oleh budaya moral dan berakhlak mulia. Matlamat ini tidak dapat dicapai selagi kemajuan kebendaan diasingkan daripada nilai-nilai akhlak.

2 comments:

tenzokami said...

terima kasih untuk info ini..... sgt membantu sya...trima kasih yer...

sabariah awang said...


t.kasih atas ilmu yang diberi